
Saya mengenali Prof. Muhaya lewat slot-slot Islam Itu Indah bersiaran setiap pagi Rabu menerusi corong radio Ikim.
Tidak pernah membaca buku karya beliau sehinggalah saya meminjamnya dari rakan yang turut sama menghadirkan diri ke sebuah forum pada Oktober tahun lalu bertempat di Stadium Melawati Shah Alam di mana teman saya tadi membeli buku karangan beliau di sini. Forum tersebut menampilkan Prof. Muhaya bersama Dr. Zaharudin sebagai tetamu undangan dan Imam Muda Ashraf selaku moderator.
Kerana buku itu berstatus pinjam maka ketika membacanya saya sempat mencatatkan beberapa mutiara dari buku tersebut untuk diulang baca. Semoga perkongsian catatan yang tidak seberapa ini juga berupa mutiara berharga buat kalian.
--------------------------------------
SKRIP KEHIDUPAN
Skrip azam tahun baru merangkumi 5 perkara:- Kesihatan fizikal, minda, rohani, perhubungan dengan manusia dan kewangan.
Fizikal: Jaga kesihatan sebaik mungkin supaya mudah melakukan apa yang kita inginkan. Jaga pemakanan dengan makan makanan yang berkhasiat dan boleh beri manfaat pada kesihatan tubuh.
Minda: Tentukan bahan bacaan yang perlu dibaca. Baca buku atau tonton rancangan TV yang berunsur motivasi dan sebagainya untuk membina minda.
Kerohanian: Sentiasa lakukan yang wajib. Banyak membuat kebaikan kepada seluruh makhluk Allah di dunia ini.
Perhubungan dengan manusia & keluarga: Hormati mereka, jaga perasaan dan jangan sakiti hati mereka walaupun sekali.
Kewangan: Perlu belanja wang kepada perkara kebaikan, jangan bazirkan pada benda yang tidak berfaedah.
Cara buat skrip: Sediakan sebuah buku sebagai “Buku Impian” dan baca setiap hari. Atau boleh juga letak di tempat yang mudah nampak. Apabila dibaca setiap hari, ia akan masuk kepada minda sedar dan dengan mudah kita akan lakukan apa yang kit inginkan.
TUJUAN HIDUP
Peningkatan akhlak dan amal.
Setiap manusia mesti ada misi dan visi. Visi: 5 @ 10 tahun ke hadapan, membantu manusia merancang, suatu persedian kehidupan
Visi merangkumi visi dunia & visi akhirat. Visi akhirat paling penting, bermula dari saat sakratul maut.Visi akhirat adalah melihat Allah dalam syurga.
Target adalah rendah dibanding tujuan hidup.
CABARAN
Sesungguhnya cabaran dalam dunia adalah apa yang kita beri, bukan apa yang kita dapat.
Seseorang yang berjaya dalam kehidupan fokus terhadap apa yang diinginkan bukan fokus apa yang telah dapat atau ada.
Jika fokus apa yang telah ada, kita seolah-olah menjadikan apa yang telah ada itu sebagai satu masalah.
Tumpukan kepada visi dan misi(matlamat) yang kita inginkan dan kita akan dapati jika berlaku sebarang masalah, kita akan merasakan permasalahan itu sebagai suatu yang remeh.
Jangan cari kesalahan orang lain kerana kita tak boleh ubah diri seseorang tapi carilah refleksi diri kita sendiri iaitu lihat kepada apa yang kita buat sehingga ia menjadi seperti itu.
HARGA DIRI
Dunia ini melayan kita sebagaimana kita melayan diri kita. Jika kita tidak ada harga diri yang tinggi, maka orang tidak akan memandang diri kita dengan harga diri yang tinggi.
Kita akan merasa harga diri kita tinggi apabila keimanan, ketakwaan kita kepada Allah kerana kita tahu Allah sentiasa bersama kita.
Tetapi jika kita tidak mendekatkan diri padaNya, maka roh kita akan berasa bersalah maka itu yang membuatkan kita merasa keingkaran pada Allah dengan sendirinya.
Sebelum sayang orang, kita kena sayang diri kita dahulu. Bila sayang diri kita, kita akan sayang pada Pencipta diri kita.
HAL KAHWIN & MEMILIH PASANGAN
Berkahwinlah kerana untuk melahirkan zuriat, membangun ummah dan mencari keredhaan Allah.
Jika berkahwin kerana cinta semata-mata dan tidak ada baja yang menyuburkan benih cinta dalam kehidupan maka terjadilah penceraian.
Pasangan yang baik adalah salah satu dari baja yang menyuburkan cinta, menyemarakkan rasa kasih kedua-dua pasangan.
Carilah pasangan yang baik berdasarkan kepada pegangan agamanya kerana ia amat penting untuk menyemarakkan hidup bercinta di dunia dan bersatu di akhirat.
HUBUNGAN DENGAN MANUSIA
Apabila kita react terhadap orang yang buat salah pada kita sebenarnya kita seolah-olah beri nyawa pada orang itu.
Allah telah berikan kita garis panduan untuk gembira, taat, syukur dan beribadah tetapi perkara baik yang sepatutnya kita buat ini telah dihilangkan oleh rasa marah kerana asyik berpandangan negatif kepada orang, yang akhirnya mencari salah orang.
Marah umpama asid. Jika kita banyak kemarahan dan dendam, itulah asid dalam tubuh kita. Jika mahu sihat dan berjaya, bersihkan hati daripada sifat-sifat mazmumah.
PARADIGMA
Jika dunia luar kita tidak elok, siapa yang hendak kita salahkan? Adakah hendak salahkan dunia luar?
Kita patut salahkan paradigma kita. Tiada siapa yang boleh mengubah paradigma kita melainkan diri kita sendiri. Mulakan dengan fikiran kerana fikiran membentuk emosi, emosi membentuk perbuatan, perbuatan membentuk sikap, sikap membentuk personaliti dan personaliti menentukan destinasi dunia dan akhirat.
Jika kita hendak betulkan dunia luar, mulakan dengan dunia dalaman kita dahulu melalui pemikiran kita.
Pemikiran adalah perasaan dunia dalaman.Tindakan dan hasilnya adalah dunia luaran. Tindakan adalah jambatan antara dunia dalaman dan dunia luaran kita.
Kebanyakan manusia melakukan senaman fizikal tetapi mereka sebenarnya perlu senaman minda untuk lawan nafsu dahulu. Apabila berjaya lawan nafsu, inshallah hidup kita akan bahagia.
--------------------------------------
Sekian, semoga bermanfaat.
p/s: nak lebih lagi, sila beli buku sendiri hehe

