Ketika pertama kali terpandang Nyanyi Sunyi di atas meja tulis dalam kamar kecil kami, saya bersikap pesimis. Hanya dengan melihat tajuk, kulit bukunya, hati saya terdetik, novel picisan apakah? Lantas saya ketawa mengejek pada adik. Dia mencebik. Adik saya baru saja dihadiahkan novel ini daripada seorang kakak operator di kilang tempatnya bekerja sementara menunggu keputusan SPM. Hadiah perpisahan setelah tamat sebulan jadi operator(baca: buruh) kilang, juga hadiah cemerlang SPMnya.
Jujur, saya kurang berminat membaca novel yang penulisnya adalah seorang perempuan kerana berdasarkan pengalaman saya, jarang yang benar-benar berkualiti, atau sekurang-kurangnya menepati citarasa saya. Namun, ketika kebosanan melanda dan hanya tinggal buku ini saja(jenis fiksyen) yang terhidang di sisi lantas ia saya ambil dan baca.
Pada awal-awal bab, pembaca dibawa berkenalan dengan dua watak utama, Dr. Cempaka Sari dari Malaysia dan Dr. Arjuna dari Indonesia yang sungguh berbeza latar kehidupan mereka tetapi mempunyai persamaan iaitu sangat menyintai sastera melayu sedari kecil lagi. Ini adalah pengalaman pertama saya membaca novel di mana bahasa melayu gaya Malaysia dan Indonesia diselang-selikan mengikut bab. Unik! Ternyata penulis sangat mahir menulis dalam kedua-dua lenggok bahasa.
Dari novel ini saya mula mengenal apa itu gurindam Melayu juga ikutan jatuh cinta samanya.
Saya sukakan untaian ilmu yang dimasukkan ke dalamnya dengan santai sekali, tanpa perlu terasa seperti membaca khutbah atau buku akademik.
Saya suka bila penulis mengajar saya perkara-perkara tentang kesasteraan melayu, ikhtiar diri dalam hutan, amalan-amalan agama yang baik untuk diamalkan dengan ciptaan-ciptaan plot menarik yang mendebarkan, misterius dan penuh suspen. Terasa mengujakan.
Maaf atas buruk sangka saya. Ternyata saya silap. Novel ini umpama permata berharga.
Oh ya, penulisnya Maskiah Masrom adalah Dr. Maskiah Masrom, padanlah isi buku ini begitu berharga. A must read novel.



0 comments:
Post a Comment